AYAM SABUNG JANTAN DITUNTUT SEBAGAI SIMBOL KAUM PELANGI: SATU KONTROVERSI BARU?
Ranau, Sabah – Di sebalik keterujaan luar biasa mengenai ayam sabung Encik Aloysius yang bertelur, beberapa pihak telah tampil ke hadapan dengan tuntutan baharu. Mereka mencadangkan bahawa ayam sabung jantan itu, kini dikenali sebagai "Jantan Gagah Bertelur," diiktiraf sebagai simbol kebebasan identiti dalam dunia haiwan.
Kumpulan aktivis hak haiwan dan hak asasi manusia dari pelbagai organisasi tempatan dan antarabangsa berhujah bahawa kejadian ini membuka peluang untuk meraikan "kepelbagaian identiti," termasuk dalam dunia haiwan."Ini adalah bukti bahawa identiti bukanlah sesuatu yang rigid, malah dalam alam semula jadi sendiri wujud keunikan yang melampaui norma tradisional. Kita harus menyokong Jantan Gagah sebagai pelopor dunia baharu yang lebih inklusif." kata Puan Clara Bintang, jurucakap sebuah NGO tempatan.
Gelombang tuntutan ini mendapat perhatian media antarabangsa, dengan beberapa portal berita menyifatkan Jantan Gagah sebagai "ayam pertama yang mewakili kaum pelangi." Seorang ahli akademik dari Universiti California, Dr. Rainbow Featherstone, berkata fenomena ini melambangkan evolusi sosial. "Jika ayam boleh melampaui jantina tradisionalnya dan menghasilkan telur, ini adalah pelajaran besar untuk kita semua tentang penerimaan dan kebebasan" ujarnya dalam satu temu bual.
Encik Aloysius, bagaimanapun, menolak segala bentuk politisasi terhadap ayam kesayangannya itu. "Saya bela ayam untuk bertanding sabung, bukan untuk jadi apa-apa ikon. Kalau dia bertelur, itu urusan dia dengan Tuhan. Jangan libatkan ayam saya dengan agenda pelik-pelik. Ini ayam kampung, bukan politikus!" katanya dengan nada tegas. Beliau turut menambah bahawa telur tersebut kini berada di bawah jagaan ketat kerana khuatir ada pihak yang cuba mencuri untuk dijadikan bahan kajian atau simbol. "Telur ini bukan barang sihir. Tolong jangan buat cerita lebih-lebih" tambahnya.
Kerajaan Sabah Masih Berdiam Diri
Walaupun isu ini semakin panas, kerajaan negeri Sabah masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung status ayam tersebut. Namun, sumber dalaman kerajaan menyebut bahawa pihak berkuasa kini dalam dilema sama ada untuk membenarkan Jantan Gagah dijadikan simbol pelangi atau terus mengekalkan identitinya sebagai ayam sabung tradisional. "Sama ada ayam ini perlu diiktiraf sebagai ikon inklusif atau sekadar ayam yang keliru, kami akan membuat keputusan yang bijak. Apa pun, Sabah bangga dengan Jantan Gagah sebagai fenomena unik yang mempromosikan negeri di mata dunia." kata sumber tersebut.
Tambah menarik, jurucakap White House telah menghubungi pihak Encik Aloysius secara peribadi untuk menawarkan ayam tersebut ke Amerika bagi program penyelidikan genetik khas. "Kami ingin memahami lebih lanjut fenomena ini. Ia boleh menjadi titik permulaan dalam memahami evolusi haiwan yang lebih kompleks" menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Penasihat Biologi Presiden AS. Namun, penduduk Kampung Marakau tidak begitu gembira dengan perkembangan ini. Mereka berpendapat bahawa ayam sabung tersebut adalah "harta intelektual kampung" dan tidak wajar dibawa keluar dari Sabah.
Sama ada Jantan Gagah bertelur kerana anugerah alam, tekanan hidup, atau untuk menghantar mesej sosial kepada dunia, ayam ini terus menjadi topik perbincangan global. Persoalannya kini: apakah nasib si Jantan Gagah? Akan terus menjadi maskot sabung Sabah, atau ikon pelangi antarabangsa? Sementara itu, Encik Aloysius dilaporkan sudah bersedia untuk apa sahaja tuntutan masa depan—termasuk melantik peguam untuk mempertahankan maruah ayamnya daripada terus dipolitikkan.
-Berita Sensasi Sabah
Comments
Post a Comment